Skandal rasuah RM15.5 juta: SPRM merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, RM500,000 tunai


Johor Bahru: Anak dan pegawai khas kepada pegawai Kerajaan Johor antara enam individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi serentak.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Johor, Datuk Azam Baki berkata, semua suspek antara 25 hingga 50 tahun ditangkap di beberapa lokasi di Johor Bahru, pada 8.30 pagi semalam.

Katanya, penahanan mereka bagi siasatan membabitkan skandal rasuah dan penyelewengan hartanah di negeri ini termasuk 45 akaun bank milik semua suspek bernilai lebih RM15.5 juta.

"Dalam operasi itu, SPRM merampas 21 kereta mewah, lima motosikal berkuasa tinggi, RM500,000 tunai termasuk mata wang asing dan dokumen dipercayai membantu siasatan.

"SPRM kini dalam proses meneliti semua dokumen dirampas berhubung penyelewangan itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, turut ditahan dua pemaju, peguam dan orang awam dipercayai terbabit skandal itu.

"Menerusi maklumat awal, suspek disyaki bersubahat dalam pengurangan premium hartanah yang diluluskan untuk projek perumahan dan perindustrian serta penukaran status premis di negeri ini.

"Kegiatan mereka dipercayai mengakibatkan kerugian berjuta ringgit dan menjejaskan pendapatan kerajaan negeri," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tanun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana lebih tinggi.

Sumber: Harian Metro
Share on Google Plus

0 comments:

Post a Comment